MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan klip video yang tular di media sosial sejak semalam berhubung pesakit terpaksa dipindahkan menggunakan tangga adalah insiden di Hospital Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, kejadian itu berlaku susulan lif di Blok F mengalami kerosakan di luar jangka.
Katanya, projek menaik taraf lif yang dibuat telah mengehadkan akses ke beberapa wad dan proses pemindahan pesakit melalui tangga perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan serta kelangsungan rawatan pesakit kritikal.
“Hospital Melaka mengesahkan situasi tersebut berlaku, ia adalah proses memindahkan pesakit yang berada di wad aras empat kepada aras tiga dengan menggunakan tangga kerana berlaku situasi luar jangka gangguan perkhidmatan lif di Blok F Hospital Melaka.
“Untuk makluman, Hospital Melaka kini dalam tempoh projek naik taraf lif di beberapa blok hospital dan sepanjang tempoh tersebut, bilangan lif yang beroperasi telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian lif baru,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, semalam.
Ujarnya, pemindahan pesakit telah dilakukan dengan pemantauan rapi pihak perawat serta pengurusan wad dan tanpa sebarang komplikasi.
Jelasnya, projek tersebut terbahagi kepada dua fasa, di mana fasa satu berlangsung dari Oktober 2022 sehingga Julai 2023, manakala fasa dua berlangsung dari Julai 2023 sehingga Disember 2023.
“Sehingga petang kelmarin, dua lif yang rosak telah dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan.
“Hospital Melaka sentiasa memastikan keselamatan serta kebajikan pesakit dan kakitangan diutamakan, jadi kami meminta semua pihak dipohon untuk tidak membuat spekulasi yang bukan-bukan kerana ini boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan pesakit,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Saya tidak tahu cara macam mana lagi yg terbaik untuk dapatkan tindakan segera dari pihak atasan.
YB, tolonglah bantu staff YB di sini (Hospital Melaka)
“Pt ventilated nak t/o ICU sampai kena turun tangga macam ni YB.” pic.twitter.com/k8PwHTPDTl
— KakTato (@KakPotato) June 3, 2023