SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (KSM) dijangka memperoleh dasar bagi merangka akta berkaitan industri ekonomi gig dalam tempoh dua minggu lagi.
Menterinya, V. Sivakumar berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang akta mahupun undang-undang yang digariskan untuk memberi perlindungan kepada pekerja ekonomi gig meliputi perkhidmatan penghantaran makanan p-hailing dan e-hailing.
“Oleh yang demikian, KSM sedang merangka dasar polisi untuk melihat bagaimana kerajaan boleh membantu supaya pekerja gig tidak didiskriminasi majikan.
“Dasar sedang dirangka dan mungkin dalam seminggu dua lagi, garis panduan itu akan saya terima.
“Jika diikutkan, memang kita sudah bincang garis panduan untuk pekerja ekonomi gig secara kasar dan ia akan diteliti secara terperinci sebelum kita buat keputusan berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung saranan Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meminta KSM merangka akta khas bagi membela nasib pekerja industri ekonomi gig.
Terdahulu, Sivakumar ditemui pada Majlis Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Peringkat Pulau Pinang di Butterworth Arena, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya membuat satu akta yang mana ia tidak menjadi minat kepada majikan dan pekerja itu sendiri.
“Sungguhpun begitu, ia bukan kerja mudah dan akan ambil masa yang lama kerana jika kita dengar pandangan mereka, tidak semua bersetuju sektor itu dikawal oleh mana-mana pihak.
“Disebabkan itu buat masa sekarang, kita rangka dasar dahulu, kemudian kita akan kaji secara lebih teliti dan terperinci sama ada nak buat undang-undang ini atau tidak,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE