PETALING JAYA – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dijangka menerima gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke-64 esok.
Perkara itu tersebar selepas bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun memuat naik di Facebook gambar Kit Siang menghadiri raptai majlis penganugerahan darjah kebesaran berkenaan.
“Keluarga veteran Lim. Tan Sri Lim Kit Siang (Raptai). Tun Lim Chong Eu. Tun Ling Liong Sik. Tun Lim Keng Yaik.
“Penganugerahan pada hari Isnin, 5 Jun. Masih ada masa untuk beli songkok. Songkok semasa raptai kelihatan tidak begitu muat dengan kepala beliau,” tulis Jeff Ooi.
Perkara itu jika benar bermaksud Kit Siang, 82, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di tujuh kawasan adalah pemimpin DAP pertama dianugerahkan dengan gelaran berkenaan.
Ia darjah kebesaran Persekutuan kedua tertinggi selepas Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun. – KOSMO! ONLINE