PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat Malaysia tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.
Baginda bertitah, rakyat sebaliknya perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.
“Namun demikian agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai. Bagi membina sebuah negara yang gagah perkasa, maju jaya, berwibawa dan bermaruah kita semua hendaklah membuang agenda retorik dan perpecahan.
“Bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan yang lebih baik,” titah baginda sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda, esok.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, kekuatan utama negara ini merupakan rakyatnya yang mencintai kedamaian, keharmonian dan kesatuan dalam kehidupan serta menerima kemajmukan yang wujud dengan penuh toleransi.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda esok, di sambut dalam suasana landskap negara yang stabil dan sentosa.
Baginda bertitah, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan proses pembentukan Kerajaan Persekutuan tahun lalu telah berlangsung dengan penuh lancar dalam suasana yang aman damai.
“Ini merupakan bukti jelas bahawa amalan demokrasi yang diamalkan semenjak tujuh dekad yang lalu masih kekal subur di negara ini. Amalan demokrasi ini hendaklah terus menjadi asas kepada kestabilan dan keharmonian negara,” titah baginda.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia di atas ucapan tahniah dan doa yang dipersembahkan bersempena Hari Keputeraan Rasmi baginda.
Titah baginda, ucapan dan doa tersebut menambah iltizam dan tekad baginda untuk terus memayungi rakyat Malaysia dengan penuh keadilan dan kesaksamaan.
“Beta turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan beta, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan dan keamanan negara.
“Beta mengajak barisan kepemimpinan negara untuk terus berkhidmat setulus hati dan meningkatkan usaha membentuk sistem pentadbiran negara yang cekap, mesra rakyat dan berintegriti demi membela masa hadapan rakyat beta dan negara yang bertuah ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE