KUALA LUMPUR – Taman-taman rekreasi di ibu negara terutama yang tidak mengenakan bayaran kemasukan ‘diserbu’ ibu bapa yang membawa anak-anak mereka sempena cuti persekolahan selama seminggu yang bermula Sabtu lalu.
Tinjauan Kosmo! di Taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) kelmarin mendapati, kawasan kolam mandi dan taman permainan dipenuhi ibu bapa yang membawa anak-anak mereka beriadah sejak awal pagi.
Seorang pengunjung, Hazimah Salam, 35, berkata, mereka sering menjadikan Taman KLCC sebagai destinasi utama untuk dikunjungi ketika cuti persekolahan.
“Saya selalu bawa anak-anak ke sini setiap kali cuti sekolah, nak bawa bercuti di pusat peranginan atau tempat-tempat mahal-mahal tak mampu, dapat datang ke sini pun, budak-budak sudah gembira.
“Selain Taman KLCC, saya juga sering membawa keluarga berkelah di kawasan sungai atau air terjun kerana kebanyakan tempat ini masih percuma, kalau ada bayaran pun tak mahal,” katanya.
Norma Kamaludin, 36, dari Kampung Melayu Subang pula berkata, dia mengunjungi Taman KLCC bersama suami dan lima anak mereka dengan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) sempena cuti sekolah.
Dia memilih untuk membawa anak-anak ke taman rekreasi tersebut kerana percuma, mudah dikunjungi dan tidak memerlukan hari yang panjang.
“Bagi ibu bapa yang tidak dapat cuti panjang ketika anak-anak sedang cuti sekolah seperti saya, kami pilih berkunjung ke sini sahaja kerana dekat.
“Ini bukan kali pertama saya datang bawa anak-anak, sudah banyak kali. Di sini sesuai bagi mereka yang ramai anak kerana boleh berjimat wang,” ujarnya.
Seorang pengunjung, Hazirah Abidin, 36, berkata, dia dan keluarga sudah lama menjadikan Taman KLCC sebagai tempat rekreasi utama keluarganya kerana kemudahan yang disediakan percuma.
“Taman KLCC memang menjadi pilihan utama saya dan anak-anak semasa bercuti sebab kolam mandi dan taman permainannya tidak perlu dibayar. Kemudahan yang disediakan juga lebih selamat berbanding di tempat lain.
“Kolam dan taman permainan di sini bukan jenis yang bahaya. Kolam mandi tidak dalam dan kawasannya mudah untuk ibu bapa memantau anak-anak mereka,” katanya.
Hazirah juga berpendapat, peraturan yang ditetapkan di situ lebih mudah berbanding di tempat-tempat lain.
“Kolam mandi di tempat lain peraturan pemakaian lebih ketat, kena pakai baju mandi baru dibenarkan ‘terjun’ ke dalam air. Kalau di sini tidak perlu seperti itu, bebas pakai apa sahaja dan tidak menyusahkan.
“Tidak perlu pakaian ketat, asalkan ibu bapa sentiasa memantau keselamatan anak masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Taman Tasik Titiwangsa di sini bukan sahaja menawarkan pelbagai aktiviti menarik, malah menyediakan kemudahan secara percuma kepada pengunjung.
Maka tidak hairanlah taman seluas 46.13 hektar yang terletak 3 kilometer dari pusat bandar itu menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti persekolahan ini.
Tinjauan Kosmo! di kawasan itu kelmarin mendapati, ramai ibu bapa membawa anak-anak berbasikal, bermain kasut roda dan berkelah, malah ada yang memilih untuk mandi-manda di taman pancuran air.
Seorang pengunjung, Ayu Ali, 38, pada awalnya dia langsung tidak merancang untuk membawa anak-anak mandi.
“Selepas bermain bola, anak-anak ingin mandi-manda pula. Sebagai ibu, saya ikutkan sahajalah keinginan mereka, lagipun sekarang cuti sekolah. Aktiviti sebegini sesuai untuk mengisi masa lapang.
“Lebih menarik apabila tempat lain berbayar, tetapi di sini tidak, jadi lebih baik datang sini, percuma,” ujarnya.