GOMBAK – Impian skuad ragbi 15 sebelah kebangsaan untuk melakar kemenangan pertama ke atas Korea Selatan pada aksi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2023 tidak kesampaian apabila tumbang 3-27 di Stadium Sayyidina Hamzah, Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) sebentar tadi.
Bagaimanapun, skuad kendalian Mohd. Farid Syazwan Abu Bakar tetap berbangga dengan pencapaian pasukan Bunga Raya selepas menampilkan semangat juang tinggi ketika berjuang berdepan pasukan gergasi Asia, Korea Selatan.
“Barisan kejurulatihan sudah jangka yang kita akan bergelut bila berdepan Korea Selatan. Persiapan yang kita buat ini tidak cukup untuk bertanding di pentas perdana seperti ini.
“Apa pun, perkara positif yang saya lihat hari ini ialah kami berjaya bangkit pada separuh masa kedua tetapi malangnya keadaan cuaca banyak menghalang dan mengganggu momentum pasukan sekurang-sekurangnya untuk melakukan satu try.
“Saya tetap berbangga dengan usaha serta pencapaian pemain hari ini kerana mereka telah mencuba sehabis baik untuk menandingi pasukan gergasi seperti Korea Selatan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi tersebut, skuad Bunga Raya menampilkan semangat juang tinggi, namun Korea terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Chang Yongheung untuk menjadikan kedudukan 0-5.
Tersentak dengan keadaan itu, skuad negara mengatur semula strategi perlawanan dan hasilnya Malaysia berjaya merapatkan jurang menerusi penalti yang disempurnakan pemain berpengalaman, Mohammad Fairuz Abdul Rahman pada minit ke 17.
Korea bagaimanapun terus menggasak kubu pertahanan negara dan skuad kendalian Lee MyungGeun menutup separuh masa pertama dengan 3-20 selepas melakukan dua try dan menyempurnakan satu conversion.
Bersambung babak kedua perlawanan, kem Malaysia terus tertekan apabila Korea melengkapkan try dan conversion pada minit ke-42 untuk menjadikan kedudukan 3-27 sebelum perlawanan terpaksa ditangguhkan kira-kira 30 minit pada minit ke-66 akibat petir dan kilat.
Biarpun perlawanan ditangguhkan, ia tidak mendatangkan masalah kepada Korea untuk menutup perlawanan dengan kemenangan. Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah mengatasi Korea Selatan sejak ‘naik pangkat’ ke kelas perdana pada 2018.
Selepas ini, Malaysia akan berdepan tugas lebih mencabar apabila bakal berdepan dengan juara dua kali, Hong Kong pada 10 Jun depan di laman lawan. – KOSMO! ONLINE