IPOH – Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun yang tinggal seorang diri ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Sri Ampang, di sini, hari ini.
Mangsa ditemui terbaring atas sofa di ruang tamu rumah berkenaan oleh anggota bomba pada pukul 9.56 pagi.
Difahamkan, rakan mangsa menghubungi talian kecemasan selepas mendapati pintu rumah lelaki itu berkunci dari dalam dan mangsa pula tidak menyahut ketika dipanggil.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat ada mangsa terperangkap dalam rumah berkunci.
“Terdapat seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri. Anggota bomba masuk bersama polis sebelum pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE