KUALA LUMPUR – Pahang Rangers nampaknya tidak menunggu lama untuk mencari penawar duka kehilangan Matheus Augusto Gonzales apabila berjaya menyambar khidmat rakan senegaranya dari Brazil, Sergio Jamur de Souza.
Pemain berusia 32 tahun itu memerlukan hanya sembilan minit pada penampilan sulung untuk memenangi hati penyokong apabila meledak gol kedua ketika membenam Kedah 5-2 di Alor Setar pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia, 20 Mei lalu.
Kemudiannya dalam aksi di laman sendiri di SUKPA pada 28 Mei lalu, Jamur mencipta satu bantuan jaringan selain meledak satu gol membantu Pahang Rangers menang 7-2 ke atas ATM.
“Saya gembira dia cepat serasi dan dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan. Kekuatan kaki kiri adalah aset dan kelebihan Jamur.
“Sudah tentu dia masih memerlukan masa untuk memahami taktikal dan cara permainan tetapi dia bekerja keras dan cuba bertambah baik dari hari ke hari,” ujar ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas.
Jamur sebelum ini mewakili kelab Sepanyol, Levante UD sebelum menyertai Pahang Rangers yang merupakan kelab Asia kedua diwakilinya selepas pernah beraksi di Liga Futsal China beberapa tahun lepas.
“Saya hanya mahu berikan yang terbaik untuk pasukan dan bantu realisasikan hasrat mereka bergelar juara liga buat kali pertama, ia pastinya akan jadi pengalaman yang cukup menyeronokkan,” kata Jamur.
Pahang Rangers kini mendahului carta Kumpulan A dengan 25 mata dengan rekod masih belum tewas selepas sembilan perlawanan dan akan bertandang ke Kuala Terengganu esok menentang Terengganu. – KOSMO! ONLINE