LANGKAWI – Jumlah kemasukan pelancong ke pulau peranginan terkenal ini menyaksikan penurunan selepas penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23), di sini yang berakhir pada 27 Mei lalu.
Tinjauan di Terminal Feri Penumpang Langkawi, di sini semalam mendapati, jumlah perjalanan feri juga telah dikurangkan kepada kira-kira lima trip sahaja bagi laluan Kuala Kedah dan Kuala Perlis meskipun minggu ini musim cuti persekolahan.
Difahamkan, penurunan jumlah pelancong berikutan tempoh cuti persekolahan yang singkat sahaja iaitu selama seminggu dan kekurangan perjalanan feri ke Langkawi.
Seorang ejen kereta sewa, Muhammad Azril Mohd. Azlan, 27, berkata, pelancong dilihat mula berkurangan dengan mendadak bermula 29 Mei lalu iaitu dua hari selepas hari terakhir penganjuran LIMA’23.
“Pada 28 Mei, kita masih nampak orang ramai masuk dan keluar ke Langkawi dan perjalanan feri juga mencecah sehingga 10 trip sehari.
“Bagaimanapun, bermula 29 Mei, hanya feri keluar dilihat penuh dengan penumpang dan feri masuk tidak penuh, sehinggakan kami cuma dapat menyewakan antara tiga ke empat buah kereta sahaja dalam sehari,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pemandu teksi, Abdullah Ahmad, 68, pula memberitahu, bagi setiap feri yang tiba di Langkawi, hanya ada dua buah teksi yang akan bergerak untuk membawa penumpang.
“Kadangkala ada juga tiada langsung teksi yang keluar apabila feri sampai di sini. Ketika penganjuran LIMA’23 baru-baru ini, memang ramai pelancong tempatan dan asing masuk ke pulau pulau ini,” ujarnya.
Seorang lagi ejen kereta sewa yang dikenali sebagai Angah, 26, berkata, kebanyakan pelancong yang masuk ke Langkawi pada hujung minggu adalah mereka yang datang dalam kumpulan besar.
“Yang berkumpulan besar biasanya akan menempah tiket feri lebih awal kerana mereka mungkin bimbang jika tidak dapat perkhidmatan feri.
“Jadi kebanyakan pelancong yang datang bersendirian sukar untuk masuk ke pulau ini kerana jumlah perjalanan yang dikurangkan, menyebabkan mereka tidak akan mendapat tiket kecuali ditempah lebih awal,” katanya.
LIMA’23 yang berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei lalu menarik kehadiran lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pengunjung awam.