BUDAPEST – Rekod bersih Jose Mourinho pada perlawanan akhir dalam kancah bola sepak Eropah tercalar selepas pasukannya, AS Roma tewas kepada Sevilla pada aksi final Liga Europa di Puskas Arena awal pagi semalam.
Roma terpaksa akur dengan kekalahan 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 120 minit permainan sebenar.
Walaupun menerima kekalahan itu dengan hati terbuka, namun Mourinho membidas pengadil perlawanan, Anthony Taylor yang dilihat seperti ‘berat sebelah’ pada perlawanan tersebut.
“Secara jujur, kami sangat sedih dan kecewa dengan kekalahan ini. Saya percaya semua orang dalam pasukan ini akan pulang dengan kesedihan disebabkan oleh aksi tidak adil oleh pengadil perlawanan.
“Secara keseluruhan, aksi final hari ini (semalam) sangat menarik dan sengit tetapi pengadil dilihat terlalu ‘Sepanyol’. Terlalu banyak kad kuning untuk kami dan beliau (Taylor) tidak layangkan kad kuning kedua kepada (Erik) Lamela,” katanya.
Pada perlawanan itu, Roma bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Paulo Dybala pada minit ke-34 sebelum Sevilla menyamakan kedudukan hasil gol sendiri Gianluca Mancini 10 minit selepas separuh masa kedua bermula.
Ketika aksi penentuan sepakan penalti, dua pemain Roma, Mancini dan Roger Ibanez gagal menyempurnakan sepakan tersebut sebelum Gonzalo Montiel menjadi wira Sevilla dengan menjaringkan gol kemenangan.
“Kami seolah-olah ‘mati’ dari segi mental dan fizikal pada malam ini (semalam). Walaupun pulang tanpa trofi, namun saya tetap bangga dengan semua pemain kerana mereka sudah berikan segala-galanya,” ujar Mourinho.
Pengendali dari Portugal itu dianggap antara jurulatih paling berjaya dalam saingan di pentas Eropah apabila memenangi kelima-lima aksi final terdahulu ketika bersama Porto, Inter Milan, Manchester United dan Roma. – AGENSI