ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menutup perjalanan pusingan pertama Liga Super musim ini dengan kemenangan apabila mereka menundukkan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman, di sini sebentar tadi.
Perlawanan bermula rancak, namun pasukan dari negeri di bawah bayu kendalian Datuk Ong Kim Swee terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-7 menerusi jaringan pemain pertahanan mereka, Gabriel Peres.
Pada minit ke-30, rentak permainan Sabah terjejas apabila penyerang mereka, Jailton Paraiba terpaksa dibawa keluar dan dihantar ke hospital dengan ambulans setelah dia mengalami kecederaan akibat bertembung dengan ‘orang besi’ KDA FC, Bojan Ciger.
Serangan menggila dilakukan KDA FC akhirnya membuahkan hasil apabila pemain naturalisasi negara, Lee Tuck menggunakan kepantasannya untuk menyambar bola hantaran Manuel Hidalgo, sebelum membuat satu sentuhan menewaskan penjaga gol pelawat, Damien Lim untuk gol penyamaan pada minit ke-40.
Bersambung ke babak kedua perlawanan, KDA FC sekali lagi hampir menambah jaringan, namun hantaran Lee Tuck kepada Willian Lira berhampiran gawang lawan pada minit ke-47, hanya beberapa inci melepasi kepala penyerang dari Brazil itu ketika Damien sudah berada jauh daripada posisi tepat untuk menyelamatkan keadaan.
Pada minit ke-69, giliran Hidalgo pula membuat percubaan dari dalam kotak penalti, namun sepakan kencangnya sedikit tersasar ke kanan gawang lawan.
Hanya dua minit selepas itu, penantian penyokong KDA FC untuk pasukan itu mendapat gol kedua berakhir setelah Lee Tuck meluru dari belakang untuk melepaskan rembatan di dalam kotak penalti, ketika berlaku keadaan kelam kabut di depan gawang pasukan pelawat. – KOSMO! ONLINE