ISU air di Kelantan bukan isu baharu dan kini ia menjadi ‘barah’ dalam rakyat negeri berkenaan sejak puluhan tahun dahulu.
Isu berkenaan tidak dapat diselesaikan secara tuntas kerajaan negeri walaupun pentadbiran sama
sejak lebih 20 tahun lalu.
Tolonglah kerajaan negeri, bukan setakat air berkarat, tetapi ada sesetengah kawasan tidak dapat merasa setitik pun air daripada paip kerajaan, meter yang dipasang umpama hiasan.
Di sesetengah tempat pula, meter bergerak, tetapi ia air tiada dan pengguna terpaksa membayar harga ‘angin’ tersebut.
Sebagai penduduk negeri ini, penulis juga dapat merasakan apa yang penduduk alami kerana rumah penulis juga menerima air karat sehingga baju putih sekolah anak-anak bertukar coklat dan kadang-kadang hitam seperti air kopi.
Inilah yang terpaksa penduduk Kelantan hadapi ketika ini, sedangkan pemimpin dan kakitangan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menikmati bonus yang agak lumayan.
Menerusi satu laporan di media sebelum ini, tular satu notis mengenai pemberian sagu hati raya kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB sebanyak RM10,000
Pemberian itu dipercayai membabitkan sembilan ahli lembaga pengarah AKSB. Selain itu, turut dinyatakan dalam notis itu mengenai pemberian sagu hati kepada semua kakitangan bernilai RM200 dan RM2,000 kepada setiausaha syarikat.
Perkara itu didedahkan oleh seorang individu di laman Facebook sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Kelantan berikutan mempunyai masalah air yang berpanjangan.
Bukan niat untuk mempertikaikan bonus tersebut, tetapi baikilah dahulu perkhidmatan, biar rakyat semua penduduk negeri Kelantan menikmati air bersih dan berbaloi dengan apa yang mereka bayar.
Sekiranya kemudahan terjaga baru tiada pihak mempertikaikan pemberian bonus kerana perkhidmatan dan kualiti yang memuaskan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat mencari dana dan menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan yang membelenggu rakyat negeri itu sejak sekian lama.
Anwar berkata, cadangan itu dapat dilaksanakan sekiranya ada kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Saya tidak fikir banyak. Selepas lebih 60 tahun merdeka, kita boleh lihat isu air menjadi masalah politik yang tidak berkesudahan dan membebankan rakyat.
“Kita (kerajaan) akan mencari dana (untuk projek air) dan penyelesaian kaedah yang betul dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan,” katanya.
Penulis berharap agar hasrat Perdana Menteri itu dapat direalisasikan segera agar tiada lagi air karat dan meter angin ‘menghantui’ penduduk negeri ini.
Jangan sampai rakyat ‘menghukum’ kerajaan negeri sedia ada kerana kelemahan mereka menguruskan masalah air yang menjadi antara perkara asas bagi setiap rakyat.
Ingat Pilihan Raya Negeri sudah dekat, rakyat sedang menilai dan memerhati.
Satu penyelesaian segera perlu dilakukan kerajaan negeri bagi ‘menamatkan’ episod duka masalah air ini.
Bukan masanya untuk kita menunding jari kepada pihak mana sepatutnya menyelesaikan isu air puluhan tahun ini, tetapi bertanggungjawablah ke atas keperluan asas mereka rakyat Cik Siti Wan Kembang.