fbpx

Harga petrol ‘meroket’ di Nigeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMILIK teksi motosikal menunggu giliran mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Negeri Ogun, barat daya Nigeria pada 30 Mei lalu. -- AFP

ABUJA, Nigeria – Harga petrol di stesen-stesen minyak milik kerajaan di Nigeria meningkat tiga kali ganda kelmarin, dua hari selepas Presiden yang baru dipilih, Bola Tinubu mengumumkan akan membatalkan subsidi bahan api dalam langkah pertama selepas beliau memegang tampuk pemerintahan.

Pengumuman itu mencetuskan kekeliruan kepada rakyat selepas kerajaan terdahulu pimpinan Presiden Muhammadu Buhari menyatakan bahawa subsidi bahan api termasuk petrol dan diesel akan kekal sehingga akhir bulan ini.

Bagaimanapun, kelmarin harga petrol di stesen-stesen minyak milik kerajaan melonjak daripada sekitar 190 naira (RM1.90) kepada sehingga 540 naira (RM5.41) untuk satu liter, menunjukkan subsidi bahan api telah dimansuhkan.

“Kami telah melaraskan semula harga petrol di seluruh stesen minyak kami, sejajar dengan realiti pasaran semasa. Harga petrol akan turun naik selari dengan dinamik pasaran,” kata Perbadanan Petroleum Nasional Nigeria (NNPC) dalam satu kenyataan.

Ketidakpastian dan perubahan mendadak yang berlaku mencetuskan panik dalam kalangan rakyat Nigeria di mana lebih 80 juta orang hidup di bawah garis kemiskinan, demikian menurut Bank Dunia.

Di stesen-stesen minyak milik persendirian pula, harga petrol mula meningkat sehari lebih awal.

Bandar terbesar Nigeria yang dihuni oleh 20 juta penduduk, Lagos menyaksikan jalan-jalan terhalang oleh barisan panjang kenderaan yang beratur untuk mengisi petrol pada Selasa lalu.

Monday Egbe yang merupakan pemandu teksi di ibu kota, Abuja dapat membeli petrol tetapi berkata, ramai orang memilih untuk duduk di rumah kerana mereka ‘tidak mampu membeli petrol’.

“Saya telah menaikkan tambang teksi daripada kira-kira 1,500 naira (RM15) kepada 3,500 naira (RM35),” untuk perjalanan yang mengambil masa sekitar 25 minit, kata pemandu teksi berusia 39 tahun itu kepada AFP.Di bandar Kano, utara Nigeria pula, Usman Ahmed menggambarkan situasi yang berlaku sebagai ‘gila’.

“Saya baru saja membeli petrol berharga 10,000 naira (RM100.15), namun apa yang dapat hanyalan 18 liter sedangkan kelmarin saya dapat mengisi 50 liter petrol pada harga yang sama. Ini mimpi ngeri,” kata Usman.

Di satu lokasi berdekatan, Mustapha Hassan yang merupakan kakitangan awam berumur 45 tahun berkata, dia bimbang tentang impak lebih meluas akibat kenaikan harga petrol.

“Kebimbangan paling serius adalah impak kenaikan ini kepada kos sara hidup. Harga semua barang keperluan akan melambung tinggi, manakala seperti selalu, rakyat biasa menjadi kumpulan paling terkesan,” katanya.

Nigeria merupakan negara yang kaya dengan sumber minyak, namun memiliki kapasiti penapisan yang sangat terhad. Selama bertahun-tahun, kerajaan menukar minyak mentah dengan petroleum yang kemudian dijual
pada harga subsidi di pasaran tempatan.

Situasi itu menyebabkan Nigeria kehilangan pendapatan yang banyak termasuk melibatkan kadar tukaran asing. Ia turut menyebabkan hutang negara melambung tinggi. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN