fbpx

Gelandangan melecur, tilam dibakar ketika tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki sedang membakar tilam di kaki lima bangunan kedai di Taman Kampian, Sungai Petani pada semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki gelandangan melecur pada punggung dan kaki apabila tilamnya dibakar dipercayai akibat perbuatan khianat di kaki lima bangunan kedai di Taman Kampian, di sini semalam.

Kebakaran kira-kira pukul 9.30 malam itu turut menyebabkan kerosakan pada pintu dua buah kedai yang terletak berdekatan dengan lokasi mangsa tidur.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota bomba Sungai Petani mengenai kejadian pada pukul 11.10 malam, semalam.

Zaidy berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan kemusnahan 25 peratus iaitu di bahagian kaki lima dan pintu dua buah kedai iaitu kedai akuarium ikan dan sebuah stor dengan anggaran kerugian RM10,000.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 62 tahun mengalami cedera melecur 11 peratus di bahagian punggung dan kaki dan telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini untuk diberi rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil temubual dengan mangsa dan pemilik kedai memaklumkan mereka tidak bergaduh atau berhutang dengan sesiapa.

“Mangsa merupakan seorang gelandangan yang tidur di kaki lima bangunan kedai tersebut sejak dua tahun lalu selepas mengalami kemalangan dan mangsa juga berjalan menggunakan tongkat,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai berhampiran, seorang lelaki didapati datang ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 9.30 malam, namun jenis motosikal dan nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan.

“Rakaman CCTV tersebut menunjukkan suspek berjalan dalam keadaan terhoyong hayang dipercayai akibat mabuk.

“Suspek juga dilihat menuju ke arah mangsa namun perlakuannya terhadap mangsa tidak dapat dilihat melalui CCTV kemudian suspek dilihat bertindak membakar tilam di kaki lima bangunan serta melarikan diri dengan motosikalnya itu,” katanya.

Tambahnya, polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI