PUTRAJAYA – Sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023) mula menggerakkan dua unit dron hari ini bagi menjejaki pendakinya, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang di pergunungan Everest sejak 19 Mei lalu.
Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, dron itu akan menyasarkan kawasan cerun dan rekahan ais berbahaya khususnya di Kem Dua dan Kem Tiga.
Beliau berkata, tumpuan utama lanjutan misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari kali ini adalah menjejaki sut pakaian, beg dan kasut yang digunakan pendaki itu.
“SAR menggunakan dron yang sepatutnya diaktifkan Isnin lalu, namun kami berdepan sedikit masalah bagi membawa keluar satu unit dron berada di bawah pihak kastam negara itu.
“Dron itu tiba di Kathmandu pada Sabtu lalu dan pelepasan keluar dron hanya dapat dilakukan pada Rabu dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Nepal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, dron itu akan digunakan bagi kawasan cerun tidak boleh dimasuki individu dan dicecah malim gunung.
Azim berkata, penggunaan dron lebih efektif bagi tujuan keselamatan dan mengelak sebarang perkara buruk kerana salji sudah mula mencair ketika ini.
“Dron berteknologi tinggi ini boleh terbang antara 5,000 hingga 7,000 meter tinggi dengan jarak 15 kilometer serta 1,500 meter terbang menegak.
“Sebelum ini, SAR menggunakan khidmat udara dan malim gunung berdepan jalan buntu dan inisiatif penggunaan dron ini adalah ikhtiar terakhir.
“Kami berharap misi SAR kali ini berjalan lancar dan cuaca baik menyebelahi kami. Jika cuaca buruk, dron tidak dapat diterbangkan,” katanya.
Katanya, pihaknya berharap pencarian lima hari ini mendapat petunjuk positif dan sekiranya masih berdepan jalan buntu mungkin SAR akan ditamatkan bergantung nasihat serta pandangan semua pihak termasuk pihak berkuasa Nepal.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu (Jumaat) selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Sebelum itu pada Khamis (18 Mei) jam 3.30 petang waktu Nepal Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest. – KOSMO! ONLINE