TEMERLOH – Penduduk di persisiran Sungai Pahang digemparkan dengan kemunculan buaya tembaga sejak Isnin lalu, dipercayai susulan air sungai yang semakin surut akibat musim panas melampau.
Antara lokasi kelibat haiwan itu dilihat penduduk adalah di Kampung Tebal, Kampung Bintang dan berdekatan pam pasir belakang Masjid Kampung Bangau Tanjung dan juga Kampung Kuala Triang, Bera.
Seorang penduduk, Azli Fasehan Bahari, 37, memberitahu, dia berjaya merakam kelibat buaya itu berdekatan sangkar ikan patin di Kampung Tebal kira-kira pukul 1.30 pagi pada Isnin lalu.
“Masa itu, saya berada di atas bot untuk menahan tajur, tiba-tiba ternampak benda bersinar dan berwarna merah dan ketika itu, saya ingatkan tikus.
“Saya mudik bot dan suluh benda bersinar itu tetapi terkejut juga sebab saya nampak sisik. Bila tengok betul-betul baru perasan buaya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, haiwan sepanjang kira-kira empat meter dengan lebar kira-kira 40 sentimeter itu berada di atas daratan.
“Saya memang terkejut bila nampak buaya itu sebab ini pengalaman kali pertama seumur hidup jumpa buaya depan mata.
“Memang ada dengan cerita-cerita orang kampung yang Sungai Pahang ini memang ada buaya tetapi tak pernah ganggu orang pun tetapi cuak juga bila nampak buaya bersaiz besar,” katanya.
Seorang lagi penduduk Mohd. Faisal Mohd Razali, 36, turut terkejut kerana bertembung buaya tembaga berhampiran pam pasir dekat Kampung Bintang di sini semalam.
“Saya percaya buaya ada di sungai ini, cuma sebelum ini belum pernah nampak. Tetapi, mungkin sebab cuaca panas, air pula makin cetek, buaya ni muncul dan naik ke daratan.
“Tak sangka pula bertembung dengan buaya masa mencari ikan. Ini pengalaman kali pertama selepas sekian lama mudik di Sungai Pahang,” katanya.
Mohd. Faisal berkata, buaya yang ditemui sepanjang kira-kira tiga meter mengambil masa beberapa jam berada di atas pasir sebelum beredar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seberang Temerloh, Mohd. Nasir Sulong, 66, meminta penduduk supaya berhati-hati walaupun teruja dengan kemunculan haiwan terbabit.
“Memang kita ketahui selama ini, buaya di Sungai Pahang tidak ganggu orang tetapi penduduk tetap perlu berhati-hati jika terjumpa dengan kelibat haiwan ini.
“Kalau saya sendiri, sepanjang turun sungai, memancing memang tidak pernah jumpa buaya setakat ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE