KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melaungkan amaran awal apabila sedia untuk merampas semula kedudukannya dalam kelompok lima teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Perkara berkenaan disuarakan oleh bekas juara Asia dan Seluruh England (All England) itu selepas menyaksikan rankingnya menjunam ke tangga ke-10 meskipun pernah memegang status sebagai pemain No.2 dunia sebelum ini.
Justeru, Zii Jia sedia melakukan kebangkitan dengan ‘mendaki’ ranking BWF bermula pada kejohanan Terbuka Singapura yang dijadualkan berlangsung di OCBC Arena 6 hingga 11 Jun ini.
“Macam saya cakap, saya pernah berada di sana (kelompok teratas), jadi saya akan berada di sana semula, tidak ada ragu-ragu lagi (untuk bangkit),” kata pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Terdahulu, Zii Jia terkandas di pusingan kedua ketika menyertai kejohanan Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu lalu selepas tewas 19-21, 21-16, 15-21 kepada pemain Taiwan, Lin Chun-yi gara-gara masalah kesihatan.
Bagaimanapun, dia dilihat sudah kembali cergas dan kelihatan ceria ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Petaling Jaya malam kelmarin.
Sementara itu, Zii Jia turut menjelaskan, dia perlu menunggu ketibaan Pengarah Kejurulatihan Team Lee Zii Jia (LZJ), Wong Tat Meng sebelum membuat keputusan mengenai rakan sepelatih serta rancangan berlatih di luar negara.
“Memang ada dalam perbincangan dengan Datuk Hamidin, termasuk rancangan berlatih di luar negara serta kemungkinan gunakan fasiliti BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Belum ada bayangan siapa rakan sepelatih, tunggu Wong Tat Meng tiba,” ujarnya.
Pada ketika ini, Zii Jia hanya memiliki bekas pemain negara, Liew Daren yang menjadi rakan sepelatih dalam latihan selain bertindak sebagai penolong jurulatih Team LZJ.
HABIS.