ALOR SETAR – Kegiatan Geng Mizan yang aktif melakukan pecah rumah serta premis di Kedah dan beberapa negeri jiran, terhenti dengan tertangkapnya tujuh individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut bermula 20 Mei lalu hingga baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, penahanan enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 52 tahun itu dipercayai berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah dan premis melibatkan kerugian lebih RM100,000 di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Begitu pun katanya, pihak polis sehingga kini masih giat memburu tiga lagi individu yang disyaki menjadi dalang utama kumpulan tersebut.
“Mereka yang ditahan mengaku telah melakukan sekurang-kurangnya 15 pecah rumah dan premis sebelum ini. Enam lelaki tersebut dipercayai menjadi antara tonggak sindiket berkenaan manakala wanita tersebut merupakan teman wanita salah seorang daripada mereka.
“Antara lokasi yang dipecah masuk adalah istana hinggap kerabat diraja di Taman Tunku Sarina, Jitra bulan lalu. Di situ, kerugiannya dianggarkan lebih RM10,000 termasuk barangan yang dianggap cukup sentimental buat keluarga diraja tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Wan Hassan berkata, modus operandi sindiket itu cukup terancang dengan mereka akan menyasarkan rumah atau premis kosong dan biasanya akan menjalankan kegiatan pada waktu malam termasuk dengan menggunakan lori.
“Enam lelaki yang ditahan itu kesemuanya didapati positif methamphetamine manakala wanita tersebut negatif dadah. Antara barangan yang dirampas termasuklah dua paket plastik berisi ketulan jernih kristal disyaki methamphetamine serta sebuah kereta jenis Proton Perdana yang disyaki digunakan dalam beberapa siri jenayah dilakukan mereka.
“Selain itu, semakan mendapati keenam-enam lelaki yang ditahan memiliki beberapa rekod lampau membabitkan kes jenayah, pecah rumah dan dadah. Salah seorang daripada mereka didapati memiliki hingga 13 rekod lampau sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, dua daripada tiga individu yang masih bebas dikenali sebagai Harmizan Kassim, 43, yang beralamat di Bandar Puteri Jaya Sungai Petani serta Mohd Sazali Saidin atau turut dikenali sebagai ‘Ayie’, berasal dari Padang Benggali Telok Air Tawar, Pulau Pinang.
“Seorang lagi individu masih dikenal pasti dan pihak kami yakin dapat memberkas mereka dalam masa terdekat. Mereka bertiga dipercayai merupakan dalang utama kumpulan tersebut dan mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai mereka diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Ketika ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, (Akta 574) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234). Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan didenda,” katanya. – KOSMO! ONLINE