fbpx

‘Terkejut lihat pekerja tercampak atas jalan dari van’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN van jenis Ford Spectron yang dinaiki kedua-dua mangsa selepas bertembung dengan sebuah treler di jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Batang Merbau, Tanah Merah kelmarin.

MACHANG – Dua pekerja butik pengantin maut ketika dalam perjalanan pulang selepas memasang pelamin di rumah pe­ngantin apabila bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Batang Merbau, Tanah Merah kelmarin.

Dalam nahas kira-kira pukul 7.30 malam itu, pemandu van jenis Ford Spectron, Muhamad Isyhad Ismi, 20, dan penumpang, Nur Farah Nabilah Che Hasan, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Abang ipar mangsa yang juga pemilik butik, Fariz Izzuddin Zainulddin, 29, berkata, dia memandu kereta secara konvoi dengan arwah Mohd. Isyhad Ismi yang memandu van bersama pekerjanya, Nur Farah Nabilah.

Menurutnya, dia dapat melihat kejadian itu menerusi cermin sisi pandang belakang apabila mayat Nur Farah Nabilah tercampak ke jalan raya.

“Saya yang memandu kereta bersama seorang lagi pekerja ­berada di hadapan mereka sebelum terdengar dentuman kuat dari arah belakang.

“Saya berhenti di tepi jalan dan terkejut melihat mayat Nur Farah Nabilah sudah ada di atas jalan raya dalam keadaan cukup ngeri, manakala adik ipar saya tersepit di dalam van,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Jalan Pondok Hidayah di sini semalam.

Fariz Izzuddin memberitahu, dia bertolak dari rumah pengantin di Kampung Limau Purut, Rantau Panjang kira-kira pukul 6 petang dan bergerak secara konvoi dengan van yang dipandu adik iparnya.

MOHD. ISYHAD ISMI (duduk kiri) dan Nur Farah Nabilah (duduk kanan) yang maut dalam nahas.

Menurutnya, Muhamad Isyhad baru memperoleh lesen memandu beberapa bulan lalu dan dilihat cuba memotong sebuah kende­raan semasa kejadian.

“Saya terkilan kerana tidak sempat membayar gaji kepada arwah yang diambil bekerja tetap sejak sebulan lalu. Sebelum ini, dia hanya bekerja sambilan di butik pengantin saya sejak setahun lalu.

“Adik ipar saya merupakan seorang pekerja yang baik kerana arwah juga seorang bekas pelajar tahfiz di Pasir Puteh,” katanya.

Ibu kepada arwah Mohd. Isyhad Ismi, Rahmah Mat Seman, 55, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya kerana merupakan anak yang soleh dan pendiam.

Katanya, arwah yang merupakan anak kelapan daripada 10 beradik itu keluar bekerja pada pukul 8.30 pagi kelmarin.

“Biasanya arwah sempat bersarapan sebelum keluar be­kerja, tetapi pada hari kejadian dia hanya menjamah biskut dan air.

“Arwah juga sempat berpesan kepada adik bongsunya supaya menjaga saya dan ayah selain mengemas rumah rumah. Dia juga berjanji akan membawa saya membeli-belah kerana dia akan mendapat gaji pertama berjumlah RM1,500,” katanya.

Katanya, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sega di sini pukul 11 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supe­rintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, treler yang terlibat dalam nahas itu dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi di lokasi kejadian, van dipandu mangsa dipercayai memotong kenderaan lain.

“Van itu kemudian bertembung dengan treler terbabit menyebabkan kenderaan berat itu terbalik.

“Nahas itu menyebabkan Muhamad Isyhad Ismi dan Nur Farah Nabilah cedera parah pada kepala dan
badan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI