KUALA LUMPUR – Dua perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Stadium Tertutup Hua Mak, Bangkok.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung hari ini, kedua-dua pemain itu menewaskan lawan masing-masing bagi meneruskan cabaran Malaysia selepas beberapa rakan lain terkandas lebih awal.
Tze Yong melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan utama kejohanan dari Taiwan, Chou Tien Chen menerusi aksi straight set 23-21, 23-21 dalam perlawanan yang memakan masa hampir sejam.
“Hari ini saya bermain bagus dan bernasib baik kerana mengejar lawan dalam kedua-dua set permainan. Saya hanya cuba untuk berani melawan dan yakin sepanjang perlawanan berlangsung.
“Sasaran saya adalah untuk bermain lebih baik pada kejohanan ini kerana penampilan saya dalam kejohanan terdahulu kurang bagus. Saya akan gunakan masa sebaiknya untuk berlatih bagi perlawanan esok,” katanya.
Sementara itu, Jun Hao pula dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan menerusi aksi tiga set 20-22, 21-13, 21-19 ke atas pemain Perancis, Christo Popov.
Menjelang aksi suku akhir esok, Tze Yong dijadualkan bertemu pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu manakala Jun Hao sekali lagi dijangka berdepan aksi sukar apabila bakal membuat perhitungan dengan jaguh India, Lakshya Sen.
Hanya Tze Yong dan Jun Hao bakal melakukan penampilan di pusingan suku akhir esok selepas tiga beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See serta beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas. – KOSMO! ONLINE