PETALING JAYA: Penyanyi dangdut Indonesia, Siti Badriah teruja bakal kembali ke Malaysia bagi menjayakan Konsert Goyang Asia Koplo Milenia pada Ogos depan.
Menurut Siti Badriah, dia akan menggunakan peluang tersebut untuk mencari buah kegemarannya iaitu durian musang king.
“Kali terakhir saya ke Malaysia pada tahun 2018 dan bersyukur tahun ini dapat kembali semula untuk menghiburkan peminat di sini.
“Apa yang paling saya rindukan adalah durian musang king. Misi sebenar saya untuk mencari musang king, persembahan hanya sampingan,” selorohnya.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Lagi Syantik ini ditemui pada sidang media konsert tersebut yang diadakan secara virtual baru-baru ini.
Sementara itu, Siti Badriah berharap konsert gabungan Malaysia dan Indonesia itu akan mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
“Semoga semua yang dirancang berjalan dengan lancar dan tiket habis dijual. Saya juga tidak sabar untuk menghiburkan peminat di Malaysia,” ujarnya.
Konsert Goyang Koplo Milenia yang berlangsung di Pusat Ekuastrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 12 Ogos depan dianjurkan oleh Mission Sight Sd. Bhd.
Selain Siti Badriah, penyanyi dangdut lain yang akan turut serta adalah Hesty Aryatura, Rhena Morena, Fitry Carlina serta dua penyanyi dangdut Malaysia, Baby Shima dan Ani Maiyuni.
Tiket-tiket berharga RM158 sehingga RM658 boleh dibeli di www.ticket2u.com. – KOSMO! ONLINE