fbpx

Syarikat tempatan, luar negara mahu melabur di Bagan Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) memotong reben sebagai gimik perasmian pelancaran laluan bas henti-henti MLSB di pekarangan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk. -Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

BAGAN DATUK – Akses lebih mudah ke sini menerusi Jambatan Bagan Datuk-Sejagop serta laluan bas henti-henti Mara Liner Sdn. Bhd. (MLSB) yang dilancarkan hari ini berjaya menarik perhatian tiga syarikat pelabur dari dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah menemui syarikat-syarikat tersebut yang menyatakan hasrat mereka untuk melabur di Bagan Datuk.

“Satu ialah pembinaan kilang kenderaan berat oleh sebuah syarikat yang telah sedia ada membuat kenderaan penumpang dan perdagangan ringan.

“Bagaimanapun, mereka akan membina kilang kenderaan berat di Bagan Datuk. Ia merupakan syarikat tersenarai,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan laluan baharu bas henti-henti MLSB di sini hari ini.

Laluan tersebut menghubungkan Bagan Datuk ke Teluk Intan serta Bagan Datuk ke Kg. Gajah. Terdahulu, beliau meninjau Jambatan Bagan Datuk-Sejagop yang dibuka kepada umum bermula semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sebuah syarikat pembuat kenderaan dari China turut menunjukkan minat untuk melabur di Bagan Datuk.

Katanya, syarikat berkenaan akan membina kilang bateri serta kenderaan elektrik (EV), justeru memerlukan kawasan yang luas bagi tujuan berkenaan.

“Mereka memerlukan kawasan yang lebih luas dan rundingan untuk membeli tanah-tanah ladang telah dimulakan,” katanya yang turut memberitahu, kilang syarikat berkenaan akan menyediakan tidak kurang daripada 7,500 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, sebuah syarikat dari Turkiye turut berhasrat untuk membina limbungan bagi tujuan seperti membaiki serta membuat kapal di Bagan Datuk, dengan rundingan berkenaannya telahpun dilaksanakan antara mereka.

Menurut beliau, kira-kira 75,000 buah kapal perdagangan melalui Selat Melaka dan kerja-kerja pembaikan kini dilakukan di limbungan di Singapura.

Justeru, beliau berkata, limbungan yang bakal dibina di Bagan Datuk dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Singapura ekoran permintaan yang terlalu tinggi.

“Jika ia siap kelak, ia membuka peluang kira-kira 2,500 pekerjaan baharu. Persiapan tenaga kerjanya dilakukan di Politeknik Bagan Datuk yang menumpukan kepada tiga bidang iaitu kejuruteraan kelautan, senibina perkapalan dan juga pembaikan kapal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI