fbpx

Malaysia perkukuh perniagaan dengan Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menerima kunjungan hormat daripada Ahmed Hussain Al-Khalaf (tengah) dan Salah Mohammed Al-Sorour (kiri) di Putrajaya, hari ini. - Facebook Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Kerajaan akan terus memperkukuhkan jaringan ‘perniagaan ke perniagaan’ antara Malaysia dan Qatar, serta mengalu-alukan syarikat-syarikat dari sana untuk meneroka pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima kunjungan hormat Pengerusi Agrico Agriculture Development W.L.L. (Agrico Qatar), Ahmed Hussain Al-Khalaf hari ini, selain dihadiri Duta Qatar ke Malaysia, Salah Mohammed Al-Sorour serta wakil-wakil daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurutnya, Agrico Qatar merupakan satu-satunya syarikat pertanian organik berasaskan system hidroponik di Qatar yang mengguna pakai teknologi terkini secara mampan.

“Melalui kaedah ini, Agrico berjaya menghasilkan kira-kira 3,000 tan metrik sayur-sayuran dan buah-buahan yang berkualiti sepanjang tahun, memenuhi sekurang-kurangnya 90 peratus permintaan pasaran tempatan Qatar.

“Pada tahun ini, Agrico Qatar melalui Agrico (M) Sdn. Bhd. menyasarkan untuk melaksanakan projek-projek dalam tiga sektor iaitu Penapisan Minyak Sawit, Pertanian dan Keselamatan Makanan, dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM1.5 hingga RM2.0 bilion,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, selari dengan Wawasan 2030 Qatar dan Pelan Tindakan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025, Malaysia menyambut baik usaha-usaha pihak swasta dalam menyokong agenda-agenda kerajaan ke arah menjamin keselamatan makanan serta memantapkan lagi rantaian bekalan makanan bagi kedua-dua negara.

“Semasa sesi kunjungan hormat tersebut, Agrico telah memaklumkan berkenaan cadangan untuk mendapatkan bekalan minyak sawit mentah bagi kilang penapisan minyak kelapa sawit milik Agrico di Malaysia.

“Insya-Allah MITI dan Kerajaan Negeri Selangor sedang menyelaraskannya. Produk ini seterusnya akan menjadi produk-produk berkualiti tinggi yang berpotensi dieksport ke Qatar, Tanzania, Afghanistan, India, dan negara-negara di rantau Timur Tengah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI