PETALING JAYA – Desan Shipyard (Desan), syarikat pembinaan kapal dan pembaikan kapal (SBSR) terkemuka, baru-baru ini telah menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23).
Sebagai salah satu pameran udara dan maritim terbesar di rantau Asia-Pasifik, LIMA ’23 merupakan platform terbaik bagi Desan mempamerkan inovasi keupayaan SBSR.
Sebelum itu, Desan dan Leaptec Engineering Sdn. Bhd. (Leaptec), anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS), telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) pada 13 April 2023 lalu yang bertujuan, bertujuan untuk meneroka potensi pelaksanaan pembinaan dan pembangunan perniagaan limbungan pembaikan kapal di Melaka.
Selain itu, Desan merupakan sebahagian daripada Kumpulan Kaptanoglu, antara syarikat perkapalan pertama di Turkiye dengan lebih 100 tahun pengalaman dalam bidang maritim dan sedang meneroka peluang perniagaan di dalam bidang berkaitan.
Desan dan Leaptec turut merancang untuk mewujudkan limbungan kapal di Melaka menerusi tiga fasa, bermula dengan aktiviti pembaikan kapal.
Inisiatif ini seiring dengan rancangan jangka panjang syarikat dan komitmen mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri maritim di Malaysia.
Sebagai rakan kerjasama strategik Desan, Leaptec mengambil langkah proaktif dan memainkan pelbagai peranan untuk memperkenalkan perniagaan Limbungan Kapal Leaptec-Desan Melaka, daripada mendapatkan kelulusan kepada memacu pembangunan perniagaan.
Kehadiran Desan pada LIMA ’23 kali ini membuktikan kerjasama penuh dan kepakaran Desan dalam memperkukuh industri pembinaan dan pembaikan kapal.
Pengerusi Eksekutif LBS dan Leaptec, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, penglibatan Leaptec di pameran yang disertai oleh Desan merupakan satu perkara yang amat positif dan menggalakkan lebih-lebih lagi dengan kunjungan kenamaan, lima orang Menteri Kabinet dan Ketua Menteri di pameran tersebut.
“Antaranya ialah, Duta Besar Turki ke Malaysia, H.E. Emir Salim Yuksel, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Kunjungan ini menjadi penanda aras positif ke atas potensi kolaborasi sekaligus mengiktiraf keupayaan Leaptec-Desan untuk menjadi salah sebuah limbungan kapal terbesar di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, pembangunan ini akan meningkatkan lagi industri pembinaan dan pembaikan kapal SBSR, dan industri maritim di Malaysia.
Malah, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut menyokong industri SBSR dan telah menyatakan minat untuk menyediakan insentif kewangan seperti yang telah diluluskan dalam Bajet 2023 baru-baru ini
Desan dan Leaptec menyampaikan penghargaan kepada penganjur dan pelabur potensi di LIMA ’23 di atas sokongan mereka.
Pameran ini berjaya mengukuhkan lagi kedudukan Desan sebagai peneraju industri dan memberi komitmen berterusan kepada kedua-dua syarikat untuk memacu inovasi, meningkatkan perkongsian dan menyumbang kepada pertumbuhan industri maritim di Malaysia.