PETALING JAYA – Kerajaan Perpaduan akan terus memberi fokus terhadap permintaan rakyat yang sememangnya menanti untuk memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata, Kerajaan Perpaduan akan sentiasa cakna dengan suara rakyat khusus terkait dengan keperluan pemilikan kediaman yang selesa dan berpatutan.
Selain itu, dalam hantaran sama, Anwar memaklumkan, pembangunan skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani bertujuan mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40 dan M40 khusus penjawat awam.
“Secara keseluruhan, kerajaan menyasarkan pembinaan 200,000 unit kediaman untuk penjawat awam di seluruh negara dengan harga rumah mampu milik di bawah RM300,000.
“Alhamdulillah di Putrajaya, setakat ini sejumlah 9,480 unit PPAM Madani sudah siap untuk didiami dengan sumbangan nilai subsidi RM25,000 sehingga RM38,000 seunit bergantung kepada saiz rumah,” katanya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan menghadiri Majlis Penyerahan Kunci PPAM Madani Dalur di Putrajaya, hari ini. – KOSMO! ONLINE