BAGAN DATUK – Kerajaan akan mempersembahkan cadangan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi memohon perkenan agar nama baginda digunakan sebagai nama rasmi Jambatan Bagan Datuk-Sejagop.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga akan memohon agar jambatan tersebut dirasmikan sempena hari keputeraan baginda yang secara lazimnya diraikan pada November.
“Sebentar tadi adalah pelancaran penggunaan jambatan itu tetapi perasmiannya akan dipersembahkan kepada Tuanku agar baginda mencemar duli bagi perasmiannya.
“Saya ingin cadangkan nama jambatan ini sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah dan memohon agar Tuanku memperkenan agar tarikh perasmiannya sempena hari keputeraan Paduka Seri Tuanku tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan laluan baharu bas henti-henti MARA Liner Sdn. Bhd. (MLSB) di Dewan Masjid Tuminah Hamidi di sini.
Jambatan Bagan Datuk-Sejagop sepanjang 1.54 kilometer (km) itu merentasi Sungai Perak dan ia menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan Perak Tengah, yang mana ia memberi manfaat kepada 70,300 penduduk di sekitar dua daerah tersebut.
Pembangunan jambatan tersebut yang menelan belanja RM406 juta itu turut melibatkan pembinaan jalan raya sejauh 8.2km iaitu dari jambatan berkenaan ke pekan Bagan Datuk. – KOSMO! ONLINE