fbpx

JKDM Pahang rampas 2.1 juta batang rokok putih bernilai RM1.57 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAZULI Johan (empat dari kiri) menunjukkan rokok putih yang dirampas dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas 2.1 juta batang rokok seludup bernilai kira-kira RM1.57 juta dalam satu serbuan ke atas sebuah lori di sebuah stesen minyak di Felda Neram 1, Kemaman Terengganu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, serbuan ke atas sebuah lori pada pukul 1.30 tengah hari 23 Mei lalu itu menemukan rokok putih yang disyaki barang larangan import bernilai kira-kira RM168,000 dengan jumlah cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM1,402,800.

“Pemandu yang berusia 36 tahun terbabit dipercayai memberhentikan kenderaan di stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak dan kesemua rokok putih terbabit ditemui di dalam lori yang dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat.

“Lori dan rokok-rokok yang dirampas dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Kuantan untuk siasatan lanjut manakala pemandu lori ditahan reman selama empat hari,”katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang mana kesemua rokok terbabit diklasifikasi sebagai barang yang dilarang pengimportannya di bawah Butiran Satu, Bahagian Dua, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Katanya hasil siasatan awal mendapati, modus operandi suspek adalah dengan membawa rokok menggunakan bot sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

Tambahnya, kes terbabit disyaki dilakukan oleh satu sindiket penyeludupan rokok yang menggunakan laluan Persekutuan Jalan Jerangau-Jabor bagi tujuan pengedaran di kawasan Pantai Barat.

“Hasil siasatan awal ke atas pemandu, dia mendakwa tidak mengetahui isi kandungan muatan yang dibawanya, bagaimanapun pemandu yang merupakan warganegara tempatan itu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut,”katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI