KAHERAH, Mesir – Seorang wanita yang didakwa menetak anak lelakinya yang berusia lima tahun hingga mati dengan menggunakan parang dan memakan kepala mangsa, disahkan tidak mengalami gangguan mental, kata Pendakwa Raya Mesir seperti dilaporkan MailOnline semalam.
Hanaa Mohamed Hassan, 29, dihadapkan ke mahkamah jenayah di mana dia dibicarakan kerana melakukan pembunuhan terancang terhadap anaknya, Youssef.
Laporan terbaharu menyebut bahawa tertuduh membunuh mangsa dengan menetak kepalanya sebanyak tiga kali dengan parang.
Dia juga memotong-motong tubuh anaknya untuk memusnahkan bukti. Wanita itu bagaimanapun ditahan pihak berkuasa sebelum sempat menanam mayat mangsa.
Dia juga didakwa memasak kepala dan cebisan daging mangsa sebelum memakannya.
Jenayah kejam itu terbongkar apabila bapa saudara Youssef menemui cebisan mayat mangsa di dalam baldi di rumah keluarga tersebut di Abu Shalabi bulan lalu.
Menurut siasatan, Hanaa membunuh Youssef untuk menghalang bekas suami dikenali sebagai H. A dan keluarganya daripada berkomunikasi dengan Youssef atau mendapatkan hak lawatannya.
Siasatan mendapati wanita itu waras dan dia tidak mengambil sebarang ubat yang boleh menjejaskan keadaan mentalnya.
Susulan penahanan Hanaa, polis terkejut apabila dia mengaku memakan sebahagian kepala anaknya kerana mahu dia berada di dalam tubuhnya buat selama-lamanya. – Agensi