fbpx

Dipecat 24 jam, Md. Nasir rasa dizalimi, ditikam belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim menyifatkan pemecatan tiba-tiba dirinya daripada jawatan tersebut dalam tempoh 24 jam tanpa alasan kukuh sebagai satu tindakan zalim dan mangsa yang ditikam dari belakang.

Md. Nasir juga tidak menafikan memang ada pihak mahu menjatuhkannya, selain wujud campur tangan politik serta unsur kroni dalam perbadanan tersebut.

Katanya, perkara tersebut terbukti menerusi penamatan kontrak lebih awal secara tiba-tiba yang biasanya dibuat atas kesalahan jenayah atau membabitkan isu integriti.

“Hari ini saya mahu membersihkan nama saya yang dipecat secara tiba-tiba sedangkan penamatan kontrak ini adalah bukan kerana salah laku, supaya tidak menimbulkan fitnah.

“Sebenarnya saya terkejut apabila menerima notis penamatan kontrak itu daripada Pengerusi Finas, Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman sekitar pukul 4.30 petang semalam.

“Saya anggap diri saya dizalimi dan secara peribadi saya tidak menolak wujud unsur kroni dalam pentadbiran Finas yang kurang bersetuju dengan pendirian saya hingga enggan bagi kerjasama.

“Perkara ini memang tidak bagus, namun berlaku dalam mana-mana organisasi kerana ada manusia susah untuk terima teguran,” katanya dalam sidang media tergempar, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang setahun tujuh bulan berkhidmat, pelbagai usaha menyeluruh dilaksanakan terutama menerusi penstrukturan operasi perbadanan demi kepentingan industri perfileman.

“Saya telah bekerja tanpa had waktu dan hari demi memastikan industri perfileman negara
kita dapat dipulihkan, khususnya selepas negara kita dilanda wabak Covid-19.

“Antara perkara yang menjadi tumpuan saya ialah untuk menstrukturkan Finas supaya lebih
berdaya saing dan dapat memberi perkhidmatan yang efektif dan efisien.

“Paling utama kita dapat menarik produser luar dan tempatan melalui FIMI atau Insentif Penerbitan Filem di Malaysia sebanyak RM1.04 bilion ringgit. Ini satu pencapaian yang belum pernah diraih sebelum ini.

“Sepatutnya hari ini saya meraikan sambutan Hari Finas ke-42 bersama warga perbadanan, namun saya reda,” katanya.

Semalam, tular sebuah dokumen penamatan perkhidmatan Md. Nasir bertarikh 31 Mei 2023 yang ditandatangani Pengerusi Finas yang mendapat kelulusan Menteri aKomunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada 5 Mei lalu.

Md. Nasir dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas pada 31 Oktober 2021 dalam tempoh dua tahun yang berkuat kuasa bermula 1 November, tahun itu sehingga 30 Oktober 2023.

Pelantikannya menggantikan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut selepas kontraknya tamat pada 15 Oktober 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI