PUTRAJAYA – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) diarahkan supaya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyiasat insiden bumbung runtuh di institut itu semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau mahu Ketua Pengarah mengambil langkah keselamatan dengan kadar segera agar tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Saya telah dimaklumkan berkaitan kejadian bumbung Dewan Besar IKIM yang runtuh pada pagi semalam yang turut mengakibatkan kecederaan ringan lima orang kakitangan IKIM.
“Saya mendoakan lima orang kakitangan berkenaan diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.55 pagi itu, bumbung Dewan Besar IKIM runtuh menyebabkan lima kakitangan IKIM cedera ringan.
Insiden berlaku ketika beberapa orang kakitangan sedang membuat latihan bagi penganjuran program Tribute Tan Sri Mohd Kamal Hassan yang dijadualkan pada 2 Jun ini di dewan yang sama.
Berikutan insiden itu, IKIM akan memohon kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian bumbung runtuh itu. – KOSMO! ONLINE