BEIJING – Seorang kanak-kanak di wilayah Hunan, China parah selepas terjun dari tingkat 26 bangunan kediamannya menggunakan payung kerana meniru aksi siri kartun popular, Tom and Jerry, lapor laman berita Merdeka hari ini.
Dalam kejadian pada Jumaat minggu lepas di Bandar Jishou, mangsa yang berusia empat tahun mengalami cedera parah dan patah tangan kanan selepas terjatuh di atas pokok.
Dia dikatakan mendarat di atas pokok rimbun sebelum terjatuh ke tanah.
Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital, manakala menurut maklumat terkini, keadaannya semakin baik dan beransur pulih.
Beberapa sumber memberitahu, ibu kanak-kanak itu bekerja di bandar berbeza dan bapanya sering bertugas di luar kawasan.
Nenek yang menjadi penjaganya dilaporkan tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar mengambil kakaknya.
Kanak-kanak lelaki itu dikatakan melompat keluar dari tingkap menghadap balkoni.
Berat badannya yang ringan dikatakan menjadi faktor ‘penyelamat’ selain pokok besar turut mengurangkan impak terjunan itu.
Dia dikatakan sedang menonton Tom and Jerry dan membayangkan akan mendarat dengan selamat sekiranya menggunakan payung.
Kejadian itu tular di media sosial dengan pengguna memberikan pelbagai komen.
“Saya pernah jadi begini. Ibu membelikan baju Superman dan saya sangkakan boleh terbang jika memakai baju itu. Saya melompat dari bumbung rumah, nasib baik tidak terlalu tinggi,” kata seorang netizen.
“Kata orang, kanak-kanak susah disuruh belajar tetapi mereka pandai sekali meniru,” ujar netizen lain. – Agensi