fbpx

Usaha pelihara hutan paya gambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JASON (tengah) sewaktu program penanaman 600 pokok di Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Selangor baru-baru ini.

MEMELIHARA hutan paya gambut merupakan salah satu usaha penting bagi melestarikan ekosistem yang menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai flora dan fauna.

Inisiatif itu juga penting untuk memelihara kepelbagaian biologi kerana hutan berkenaan merupakan ekosistem yang menyokong spesies tumbuhan dan hidupan liar unik.

Sempena Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa yang diraikan pada setiap 22 Mei lalu, seramai 130 sukarelawan daripada segenap usia telah berkumpul di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Selangor.

Ia bertujuan menanam 600 pokok dalam usaha memulihkan hutan paya gambut di negara ini untuk tatapan generasi akan datang.

Penganjur bersama dan Pengarah Global Environment Centre (GEC), Faizal Parish berkata, usaha pemulihan hutan paya gambut di HSKLU telah berlangsung sejak tahun 2015.

Ujarnya, ia dijalankan melalui inisiatif pembasahan semula (pengurusan hidrologi), penanaman semula (menanam pokok) dan pengurangan kebakaran (pemantauan hutan berasaskan komuniti).

“Hutan paya gambut memainkan peranan kritikal dalam menangani perubahan iklim, menyimpan karbon dan air serta memelihara kepelbagaian hidupan unik.

“Usaha penanaman pokok dilihat mampu memulihkan hutan paya gambut yang terancam.

“Usaha-usaha memulihkan HSKLU juga dilakukan melalui kerjasama dengan Sahabat Gambut Asli Temuan (SGAT), GEC dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS),” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya, sejak beberapa tahun lalu, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan untuk memulihkan hutan paya gambut di negara ini telah menghasilkan perkembangan sangat positif.

Kongsinya lagi, melalui sokongan JPNS, penglibatan aktif SGAT serta jalinan kerjasama sektor awam dan swasta telah menyokong serta peningkatan libat urus masyarakat.

Faizal berkata, pihaknya mampu mewujudkan pendekatan pengurusan hutan paya gambut yang mampan dan membantu mengekalkan nilai kawasan tersebut.

Pada masa sama, usaha tersebut juga dapat memelihara kepelbagaian biologi, mengekalkan manfaat ekosistem serta mengawal perubahan iklim.

SERAMAI 130 sukarelawan terlibat dalam program penanaman pokok sempena Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa itu.

Turut diadakan adalah aktiviti Penanaman Pokok Bulanan yang dianjurkan secara bersama oleh GEC, JPNS, Pertubuhan Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara dan SGAT.

Program berkenaan juga menyokong Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Usaha penanaman semula itu telah berjaya meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemulihan hutan paya gambut menerusi penglibatan masyarakat.

Sementara itu, BOH Plantations (BOH) turut terlibat dalam program Pemulihan dan Pengurusan Air Hutan Paya Gambut oleh GEC di HSKLU sejak tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif BOH, Jason Foo berkata, antara inisiatif yang dijalankan adalah program kemapanan jangka panjang bertemakan, BOH, A Cup of Sustainabili-tea.

BOH juga telah menaja usaha penanaman pokok termasuk penjagaan dan pengurusan tumbuhan tersebut.

“Sebagai sebuah syarikat yang terhutang budi kepada alam sekitar, kelestarian alam adalah suatu yang diutamakan.

“Ia bagi merealisasikan matlamat kami untuk menjadi syarikat penanam teh yang mampan sepenuhnya pada masa depan.

“Kami sentiasa mengutamakan ekosistem seimbang di kawasan hutan sekeliling semua ladang teh.

“Misalnya, ladang BOH Bukit Cheeding yang terletak bersebelahan HSKLU, kami telah berjaya mengekalkan zon penampan di antara kawasan penanaman teh dengan hutan di situ.

“Usaha penanaman pokok ini juga adalah sebahagian daripada program kemampanan jangka panjang syarikat BOH.

“Kami juga amat gembira dan berbesar hati dapat memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran, pemulihan serta kelestarian hutan tanah gambut di negara ini,” ujarnya.

Tema Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa 2023, ‘Daripada Persetujuan kepada Tindakan: Bina Kembali Kepelbagaian Biologi’.

Tema tersebut merupakan peringatan yang tepat pada masanya supaya kita semua dapat memainkan peranan untuk membina semula hutan paya gambut.

Usaha berkenaan sekali gus dapat memelihara kepelbagaian biologi dan menyumbang kepada bumi yang lebih sejahtera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI