fbpx

Sze Fei, Izzuddin ‘rujuk’ semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sze Fei (kanan) dan Izzuddin kembali bergandingan dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 tahun depan.

KUALA LUMPUR – Bagi mengejar cita-cita beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 tahun depan, pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mengambil keputusan untuk kembali bergandingan.

Perkara itu disahkan sendiri Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang menjelaskan dua pemain berkenaan sudah bertemu dengan beliau dan Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Beliau berkata, Sze Fei dan Izzuddin meluahkan kekesalan atas keputusan yang dibuat sebelum ini selain menggesa dua pemain itu menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran berharga.

“Kita mendapat berita baik hari ini apabila Sze Fei dan Izzuddin sudah mencapai kata sepakat untuk kembali menjadi pasangan bagi meneruskan cabaran serta impian mereka beraksi di Olimpik.

“Mereka bertemu dengan saya dan Rexy bagi meluahkan kekesalan. Saya nasihatkan supaya belajar daripada kesilapan lalu dan kuatkan semangat setiakawan kerana mereka ada potensi cukup tinggi,” katanya.

Terdahulu, Sze Fei-Izzuddin mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri Januari lalu selepas kedua-dua pemain itu menyatakan sudah tidak sebulu sehingga memaksa ABM merombak skuad beregu lelaki.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) percaya masih belum terlambat buat Sze Fei-Izzuddin untuk mengejar kelayakan ke Olimpik dengan Terbuka Singapura bakal menjadi kejohanan pertama mereka selepas kembali bergabung.

“Saya fikir belum terlambat untuk mereka kembali berganding kerana ranking semasa adalah di tangga ke-32, bukan beratus-ratus. Jika kekal fokus dan bersemangat, mereka ada peluang untuk beraksi di Olimpik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI