fbpx

RUU kawalan tembakau, vape dibentang awal Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUKANISMAN (empat dari kiri) memegang replika rokok sebagai gimik perasmian Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Dewan Hang Tuah, Banda Hilir, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu kawalan tembakau dan vape di Dewan Rakyat pada awal bulan depan.

Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa telah membawa perkara itu kepada jemaah menteri dan Kabinet bersetuju RUU berkenaan dibentangkan untuk kali pertama.

Katanya, semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang diminta memberikan sokongan supaya usaha kerajaan untuk mewujudkan generasi bebas merokok berjaya dicapai.

“KKM membawa banyak kertas penting pada Persidangan Dewan Rakyat bulan depan seperti kertas putih kesihatan, kertas putih vaksin dan yang paling menjadi tumpuan ramai adalah RUU kawalan merokok.

“Parlimen dijangka dibuka pada 6 Jun tetapi kita sedang menunggu tarikh sebenar daripada pihak Parlimen dan menjangkakan RUU dibentang pada minggu awal persidangan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Tambah Lukanisman, KKM telah mengadakan sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak seperti Ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri untuk mendapatkan pandangan serta isu-isu yang berkaitan.

“Terdapat fasal dalam draf asal yang ditentang Ahli Parlimen telah ditarik balik dan kita mengharapkan RUU ini dapat diluluskan dalam kedua-dua dewan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai kawalan vape, Lukanisman menjelaskan, buat masa ini tiada undang-undang atau peraturan untuk diikuti pemain industri selain kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan vape. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI