PETALING JAYA – Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersedia menawarkan bantuan perundangan bagi membantu proses perebutan hak penjagaan anak Aisyah Naadhirah.
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, pihaknya mengadakan perbincangan bersama Aisyah Isnin lalu dan bersedia membantunya dalam proses perundangan berkaitan.
“PPMM komited dan bersedia membantu proses perundangan yang dihadapi oleh Aisyah di mahkamah-mahkamah berkaitan melalui barisan peguam PPMM.
“PPMM telah pun mengarahkan sebuah firma guaman bagi mengendalikan kes ini bagi pihak Aisyah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini tular rakaman video memaparkan seorang ibu dan anak berusia sembilan tahun terpaksa berpisah setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu diserahkan kepada bapanya.
Rakaman berdurasi 49 saat itu menyaksikan kanak-kanak tersebut merangkul erat tubuh ibunya sambil menangis teresak-esak kerana terpaksa berpisah dengan ibunya.
Difahamkan pasangan Orang Asli berkenaan tidak lagi hidup bersama dan membawa haluan masing-masing dan ibu kanak-kanak berkenaan telah memeluk Islam. – KOSMO! ONLINE