PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kedua-dua perayaan itu disambut bagi menzahirkan rasa syukur dan gembira atas rezeki yang melimpah ruah serta hasil tuai yang bertambah.
Pada masa sama, Anwar turut menyatakan penghargaan kepada sekumpulan masyarakat Borneo yang berarak dalam pakaian tradisional di ibu kota baru-baru ini.
Katanya, usaha memberi kefahaman dengan tujuan menjelmakan rasa cinta dan kasih sayang serta bagi memperkukuh kerukunan semestinya didukung terus.
“Penghargaan itu sempena usaha mereka untuk mengetengahkan budaya masyarakat Borneo yang tentunya membentuk aspek kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE