fbpx

Penganggur dituduh bunuh wanita warga emas, miliki telefon bimbit mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini, atas dua pertuduhan iaitu membunuh seorang wanita warga emas dan memiliki talefon bimbit mangsa dalam kejadian 9 Mei lalu. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

PORT DICKSON – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan iaitu membunuh seorang wanita warga emas dan memiliki telefon bimbit mangsa dalam kejadian 9 Mei lalu.

Tertuduh, Suhaimi Shamsudin, 45, mengangguk faham atas pertuduhan pertama membabitkan kes bunuh berkenaan sebaik dibacakan di hadapan Majistret, V. Vanita.

Berdasarkan pertuduhan pertama pada 9 Mei lalu di antara pukul 7.43 pagi sehingga 1.30 tengah hari di Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang, tertuduh didapati telah membunuh seorang wanita berusia 67 tahun.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin dan kes didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh memohon tarikh sebutan semula kes bunuh berkenaan bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat dan majistret kemudiannya menetapkan 28 Jun ini.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh dan lokasi yang sama kira-kira pukul 4 petang, tertuduh dengan curangnya menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit berwarna hitam milik mangsa.

Tertuduh dalam rayuannya memohon jasa baik Majistret untuk membenarkan dia mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Tampoi.

“Ya saya bersalah (pertuduhan kedua), minta jasa baik Yang Arif untuk (saya) mendapatkan rawatan di Hospital Tampoi. Dulu kes lampau 2002, saya pernah di hantar di Tampoi selama sebulan untuk ujian mental,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya memohon Majistret hukuman setimpal bagi memberikan pengajaran dan majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI