BANDAR RAYA MEXICO – Beberapa siri protes tercetus di Mexico selepas seorang wanita dijatuhi hukuman penjara enam tahun dua bulan kerana membunuh lelaki yang memperkosanya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Orang ramai berhimpun untuk menegakkan keadilan kerana mereka percaya bahawa Roxana Santiago, 21, cuba mempertahankan diri semasa dia diserang.
Sebilangan penyokong Santiago menghadiri protes dengan membawa poster yang tertera ayat seperti ‘mempertahankan hidup saya bukan satu jenayah’.
Insiden serangan itu berlaku di Nezahualcoyotl yang merupakan salah satu kawasan paling berbahaya untuk wanita di Mexico. Santiago baru-baru ini berada di jalan itu untuk menjual kentang bagi menyara kehidupan bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun.
Semasa berjalan pulang pada suatu malam, seorang gelandangan menghampiri Santiago dan meminta tempat berteduh kerana rumahnya terlalu jauh. Dia bersetuju membantunya, namun suspek menyerangnya secara seksual dan fizikal.
Akibat terdesak untuk melarikan diri, Santiago melawan dengan menumbuk muka suspek dan menjerut leher lelaki itu menggunakan baju-T miliknya.
Selepas suspek mati, Santiago memasukkan mayat lelaki itu ke dalam beg dan meninggalkannya di sudut jalan di kawasan kejiranan Benito Juarez.
Dalam surat terbuka kepada orang ramai, Santiago berkata: “Saya tidak mahu dia menyakiti sesiapa lagi. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya sangat takut.
“Dia membuat saya sangat marah. Dia menghancurkan maruah saya. Saya berasa terhina dan terluka. Saya rasa kosong,” tulisnya.
Tambah Santiago, polis yang menyiasat kes itu menganiayanya secara lisan dan dia tidak pernah diperiksa oleh pakar untuk membuktikan kes rogol.
Bantahan dan perhimpunan diadakan di seluruh Mexico untuk menyokong Santiago bagi meningkatkan kesedaran tentang nasibnya dan menuntut keadilan bagi tindakan mempertahankan diri semasa serangan kejam. – Agensi