PELUANG luas terhidang buat skuad hoki lelaki negara untuk menamatkan kemarau 11 tahun ke final Piala Remaja Asia sejak 2012 dengan menewaskan Pakistan pada separuh akhir edisi kali ini di Kompleks Sukan Salalah, Oman awal pagi esok.
Skuad Young Tigers mara ke penentuan empat terbaik sebagai juara Kumpulan B dengan kemenangan bersih 100 peratus dalam empat perlawanan termasuk menewaskan Oman 1-0 pada aksi terakhir awal pagi semalam.
Ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim percaya barisan pemainnya berkeupayaan untuk menjinakkan Pakistan sekiranya menampilkan prestasi sama seperti tiga perlawanan awal peringkat kumpulan.
“Dari awal kita tahu ada peluang sebagai juara kumpulan dan pemain telah buktikan dalam tiga perlawanan pertama. Persembahan sama perlu diteruskan dan bersiap sedia sehabis baik untuk aksi separuh akhir nanti.
“Masa rehat ini digunakan untuk analisis Pakistan yang merupakan antara pasukan terkuat selain India. Namun, kita telah kenal pasti kelemahan mereka, jadi pemain perlu turun dengan semangat tinggi untuk jelmakan keputusan positif.
“Cumanya saya harap jangan bawa prestasi seperti hari ini (awal pagi semalam). Saya harap ini adalah aksi terburuk terakhir kita dalam kejohanan ini dan pemain perlu segera bangkit,” kata Amin selepas tamat perlawanan itu.
Gol tunggal Malaysia menentang Oman dijaringkan oleh Shahmie Irfan Suhaimi selepas menyudahkan penalti stroke pada minit ke-48.
Ia menyaksikan Shahmie yang pernah beraksi di Piala Dunia 2022 bersama skuad senior awal tahun ini, berkongsi status penjaring terbanyak bersama Araijeet Singh Hundal (India), Kumpei Yasuda (Jepun) dan Abdul Rehman (Pakistan) dengan enam gol.
Sebagai rekod, Malaysia muncul juara buat kali pertama pada 2012 di Melaka tetapi gagal ke separuh akhir tiga tahun kemudian di Kuantan, Pahang sebelum edisi 2021 terpaksa dibatalkan disebabkan Covid-19.