ROMA – Jurulatih AS Roma, Jose Mourinho berpeluang melakar sejarah baharu sebagai legenda kelab itu jika berjaya menjulang gelaran Liga Europa menewaskan Sevilla pada aksi final di Puskas Arena awal pagi esok.
Ia bakal menjadi trofi kedua berturut-turut Roma bersama Mourinho selepas menjuarai Liga Konferens Europa musim lalu sekali gus menamatkan penantian 61 tahun di pentas Eropah.
Pengendali berusia 60 tahun itu turut memburu trofi Eropah keenam peribadinya selepas memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara, dua Liga Europa dan satu Liga Konferens Europa.
“Sekarang saya lebih bagus sebagai jurulatih, tetapi masih DNA yang sama iaitu motivasi untuk gembira dan bahagia. Saya terapkan keinginan untuk menang kepada para pemain.
“Anda akan lebih meningkat dengan pengalaman dan minda menjadi lebih tajam serta ilmu terus bertambah tahun demi tahun. Anda akan berhenti apabila anda hilang motivasi.
“Saya berbeza kerana motivasi saya sentiasa meningkat. Saya lebih tenang dan saya mahu memberikan sesuatu kepada kelab ini (Roma) kerana kami berhak meraihnya,” katanya.
Keyakinan Mourinho juga semakin meningkat selepas penyerang utamanya, Paulo Dybala dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan untuk turun beraksi di Budapest, Hungary awal pagi esok.
Dybala telah diberikan ‘lampu hijau’ oleh pasukan perubatan Roma terhadap kecederaan pergelangan kaki ketika menentang Atalanta dalam aksi Serie A beberapa minggu lalu.
Bagaimanapun, Roma perlu bekerja keras kerana peluang kedua-dua pasukan dilihat seimbang selepas kali terakhir menentang Sevilla berakhir seri tanpa jaringan dalam aksi persahabatan pada Ogos 2021.
Prestasi semasa kedua-dua pasukan juga sama apabila gagal memenangi empat perlawanan terakhir masing-masing dengan Roma tewas 1-2 kepada Fiorentina, manakala Sevilla tumbang 1-2 di tangan Real Madrid.
“Saya sudah lama dalam bola sepak, mungkin orang menganggap saya sudah tua, beruban dan perlu bersara. Saya ada misi kerana hanya kelab hebat beraksi di dua pentas Eropah berturut-turut,” jelas Mourinho. – AGENSI