fbpx

KPDN, PKPS lancar Program Jualan Mega Ehsan Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin (dua kiri) bersama Amirudin (kanan) beramah mesra bersama pengunjung yang membeli barangan di Tapak Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Serbaguna MPAJ. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

AMPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melancarkan Program Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER), hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, program itu merupakan yang pertama diadakan melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Katanya, program itu menawarkan dan memfokuskan penjualan bagi tujuh jenis barang keperluan asas utama pada harga runcit serendah 30 peratus berbanding harga pasaran.

“Antara barangan yang ditawarkan kepada pengguna seperti ayam segar, beras, telur ayam, minyak masak, ikan, gula pasir dan daging sejuk beku.

“Tempoh bagi jualan JER ini akan berlangsung selama tiga jam sahaja dengan konsep premis terbuka,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran program itu di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Salahuddin berkata, kerjasama strategik itu adalah idea penggabungan dan penyelarasan dua program di bawah inisiatif kos sara hidup iaitu Program Jualan RAHMAH dan Jualan Ehsan Rakyat di Selangor.

“Seterusnya, hasil penjenamaan semula ini adalah disebabkan kedua-dua program ini mempunyai objektif, modus pelaksanaan dan golongan sasaran yang hampir serupa.

“Susulan itu, kita dapat mengurangkan kos pelaksanaan, meningkatkan impak dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan di negeri Selangor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, program itu juga menunjukkan komitmen dalam memastikan setiap rakyat negeri Selangor mendapat manfaat dengan inisiatif kerajaan negeri.

“Sebelum ini, ada yang menganggap paling lama Program Jualan Ehsan ini hanya dapat dilaksanakan selama tiga bulan. Bagaimanapun, program ini hampir memasuki setahun sejak diperkenalkan.

“Jualan ini menunjukkan kita bukan hanya berbangga dengan hasil yang besar, tetapi hasil yang mampu dijana oleh PKPS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI