LONDON – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain membuat kejutan apabila dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat kapten Arsenal, Martin Odegaard pada jendela perpindahan kali ini.
Pemain antarabangsa Norway itu menikmati musim cemerlang apabila membantu The Gunners buat pertama kali dalam tempoh sedekad untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun terpaksa akur dengan kehebatan Manchester City.
Odegaard dianggap salah seorang pemain terbaik di England musim ini apabila meledak 15 gol dan melakukan lapan umpanan jaringan dalam 37 aksi EPL.
Prestasi berkenaan menarik minat PSG yang cuba mempertimbangkan potensi perpindahannya ke Parc des Princess biarpun sedar ia bukan tugas mudah kerana Arsenal pastinya tidak akan melepaskannya dengan senang.
Odegaard merupakan pemain penting buat skuad kendalian Mikel Arteta musim ini terutama kejayaannya mengemudi bahagian tengah pasukan berkenaan selain dia juga dilaporkan masih lagi gembira untuk terus kekal di London.
Bagaimanapun, menerusi Odegaard, Arsenal mampu untuk mendapat jumlah wang banyak hasil perpindahan tersebut kerana mereka hanya akan diberikan bajet sekitar £180 juta (RM1.02 bilion) untuk berbelanja mendapatkan pemain baharu bagi menghadapi musim depan.
Selain Odegaard yang menarik perhatian PSG, beberapa lagi pemain Arsenal seperti Kieran Tierney juga sedang diintai oleh Newcastle United, manakala dua lagi pemain, Thomas Partey dan Rob Holding juga mungkin akan berada dalam senarai pemain yang akan dijual. – AGENSI