PETALING JAYA – Polis mengklasifikasi kematian seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Jho Low iaitu Kee Kok Thiam sebagai mati mengejut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kematian Kok Thiam, 56, disebabkan faktor kesihatan.
“Kes ini polis siasat sebagai SDR (mati mengejut) dan tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kee Kok Thiam dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 3 pagi pada 3 Mei dan diarahkan untuk pergi ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 10 pagi hari yang sama.
Semalam, Al Jazeera melaporkan Kok Thiam memberitahu SPRM dia telah bertemu Jho Low dan buruan kes 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal Ariff Kamil di Macau.
Sementara itu, peguam mewakilinya, Valen, Oh dan Rakan Niaga berkata, mendiang meninggal dunia pada Isnin lalu di hospital akibat angin ahmar secara tiba-tiba.
Peguam mewakili keluarga mendiang dalam kenyataan turut meminta semua pihak agar tidak melayan sebarang spekulasi terhadap kejadian tersebut.
Terdahulu media melaporkan, Kee Kok Thiam meninggal dunia selepas tidak sampai sebulan kembali ke negara ini.-KOSMO! ONLINE.