PUTRAJAYA- Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum perkembangan terkini ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan mengesahkan laporan yang mendakwa keberadaan Jho Low ketika ini.
“Perkara itu dalam pemakluman kami (KDN). Itu memadai untuk apa-apa urusan akan datang, namun (pengesahan keberadaan Jho Low) itu bukan keluar dari mulut saya.
“Apa pun kita akan mengikut langkah sewajarnya, buat masa sekarang kekal begitu. Kita juga tidak bercadang untuk ulas lanjut perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kaunter Khas Jemaah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pengarang bersama “Billion Dollar Whale”, Bradley Hope mendakwa Jho Low dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China. – KOSMO! ONLINE