PERANAN pengamal media di negara ini sangat ditagih semua pihak bagi menyalurkan informasi yang tepat dan sahih berhubung sesuatu perkara.
Dalam dunia teknologi ketika ini, ramai menjadikan media sosial sebagai platform menyebar luas berita tidak sahih hingga menimbul kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Kesalahan satu-satu berita itu juga adakalanya mampu membuatkan orang ramai panik.
Di sebalik tindakan tidak bertanggungjawab pelbagai pihak menyebarkan berita palsu, menjadi tugas pengamal media memperbetulkan apa yang disebarkan agar masyarakat mendapat maklumat yang betul.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching memberitahu, pihaknya merekodkan sebanyak 49 kes berita palsu dari Januari hingga penghujung April tahun ini dan kesemuanya disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, Nie Ching memberitahu, peranan dan kepentingan wartawan sebagai sumber maklumat tepat tidak akan berubah meskipun media berdepan dengan perubahan corak penyampaian berikutan revolusi pendigitalan termasuk dengan pengenalan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Bagi penulis, biarpun jumlah kes berita palsu itu kelihatan sedikit, namun ia sangat memberi impak besar kepada kefahaman masyarakat yang mungkin akan mendatangkan kegusaran melampau.
Penganalisis keselamatan dan politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ‘tauliah’ pengamal media ini amat penting kerana penyebaran berita palsu ini merupakan satu fenomena yang boleh merosakkan elemen media dalam negara.
Beliau yang juga merupakan Pensyarah Komunikasi Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pentauliahan ini penting kerana mereka (pengamal media) telah dididik untuk memahami etika kewartawanan yang cukup baik.
Katanya, selain itu, pengamal media memahami etika perundangan dalam memastikan masyarakat tidak terdedah dengan maklumat salah serta tidak berlandaskan fakta.
“Jika penyebaran berita palsu ini semakin berleluasa ia akan menjejaskan keadaan sosiopolitik dan sosioekonomi dalam negara,” katanya.
Katanya, sebarang penyampaian yang mencurigakan orang ramai boleh merujuk portal sebenarnya.my bagi kesahihan sesuatu berita itu.
Selain menjadi pelapor yang berhemah, penulis bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 baru-baru ini yang menyatakan media seharusnya bebas tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.
Anwar menegaskan, peranan media dalam melontarkan kritikan terhadap kepimpinan sangat diperlukan dan ia seharusnya membangkitkan rasa takut dalam kalangan mereka yang dikritik.
Setiap pihak membabitkan masyarakat, media dan pemimpin mempunyai tanggungjawab dalam menyebarkan sesuatu berita.
Penulis menyarankan agar orang ramai tidak membuat ulasan dan penulisan sebuah artikel tanpa ‘tauliah’ dan sekiranya ingin berbuat demikian mereka boleh mendaftarkan diri di mana-mana agensi media kerajaan mahupun swasta.