PETALING JAYA – Star Vendors Event Sdn. Bhd. membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu tarian tidak sopan sehingga meraih kecaman ramai dalam satu acara di Melaka, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya yang juga penyanyi, Ifa Raziah berkata, insiden yang tidak disengajakan itu berlaku diluar kawalan pihaknya selaku penganjur pesta terbabit.
“Kami memohon maaf kepada kerajaan negeri Melaka dan rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.
“Pihak kami akan mengambil perhatian sewajarnya atas aduan tersebut, selain memastikan perkara seumpama itu tidak berulang lagi.
“Star Vendors Event juga sangat berterima kasih atas teguran yang berikan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut penyanyi itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah menghubunginya susulan aduan orang awam.
“Kami sudah menjelaskan kepada JAIM, bagaimana insiden berkenaan itu boleh terjadi.
“Perkara itu tidak disengajakan dan berlaku tanpa pengetahuan penganjur. Segala gerak tari pelaku di atas pentas juga adalah di luar kawalan kami.
“Individu terbabit juga tiada kaitan dengan kami mahu pun mewakili syarikat kami,” katanya.
Terdahulu, tular satu video yang menunjukkan seorang wanita bergelek sakan di atas pentas dalam program anjuran Star Vendors di Melaka.
Tindakan yang disifatkan menari dengan aksi menghairahkan itu mencetuskan kecaman netizen sehingga mendapat teguran seorang exco kerajaan negeri Melaka dalam laman Facebook.
Pada masa sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman turut meluahkan kekesalan terhadap insiden itu dan meminta penganjur membuat kenyataan maaf secara terbuka terutama kepada rakyat Melaka.
Katanya, kerajaan negeri menyokong segala program yang menarik pengunjung ke Melaka, namun itu bukan lesen untuk melanggar garis panduan ditetapkan.
“Sensitiviti rakyat harus menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.- KOSMO! ONLINE