fbpx

Hadiri majlis pertunangan, semuanya kerana anak – Ameng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMENG SPRING

KUALA LUMPUR – Meskipun telah bercerai sejak 20 tahun yang lalu, hubungan antara penerbit drama popular Datuk A. Aida dan bekas suaminya, penyanyi Ameng Spring dilihat dalam keadaan baik apabila kedua-duanya hadir meraikan majlis pertunangan anak sulung mereka, Wan Az Aleesa baru-baru ini.

Ameng, atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 54, bagaimanapun mendakwa kehadirannya pada majlis pertunangan tersebut dan majlis akad nikah yang bakal berlangsung pada bulan Julai nanti adalah semata-mata demi anak dan agama.

Hal ini kerana, Ameng perlu akur pada tuntutan agama untuk menjadi wali buat anak perempuannya. Jika majlis lain yang tidak ada keperluan untuk dihadiri, penyanyi lagu Sampai Hati itu tidak akan hadir.

“Semuanya adalah kerana anak. Majlis pertunangan itu pula acara agama, begitu juga dengan majlis akad nikah pada Julai depan. Saya sebagai bapa perlu menjadi wali dan kita akur kehendak agama, jadi saya akan hadir,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Pada masa sama, Ameng turut berkongsi perasaan teruja apabila bakal menyambut kehadiran menantu pertamanya dan seakan tidak percaya bahawa anak sulungnya itu bakal bergelar isteri.

“Saya tidak sangka anak sudah hendak berkahwin sebab saya tidak pernah tahu dia ada teman lelaki, selalu dia akan keluar dengan rakan-rakan perempuannya sahaja.

“Bila hendak bertunang barulah anak beritahu tentang tunangnya. Tiba-tiba saya terasa tua (ketawa). Sebagai bapa apa sahaja yang membahagiakan anak saya mengikut sahaja,” kata Ameng ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Kasih Pengasih 2023 yang diadakan di Rumah Pengasih, Bukit Tunku, Kuala Lumpur, semalam.

Disoal tentang perasaannya menerima menantu sulung, Zain Azrai Abdul Aziz yang merupakan seorang juruterbang, tiada lain diluahkan selain bersyukur.

“Alhamdulillah bakal menantu saya lihat seorang yang baik, memiliki kerjaya dan nampak jujur. Keluarga besan semuanya bekerjaya sebagai doktor, jadi mereka orang yang baik-baik,” kata Ameng.

Terdahulu. Ameng dan A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang pernah mendirikan rumah tangga pada 1994, tetapi bercerai pada 2003.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Wan Az Aleesa, 27, dan Wan Azevanatassha, 22.

Dalam perkembangan lain, Ameng bakal tampil dengan persembahan di Konsert Kasih Pengasih 2023 yang akan diadakan di Auditorium RTM Kuantan, Pahang pada 1 Julai depan.

Selain Ameng, konsert yang diadakan bagi mengutip dana Pengasih turut dibarisi penyanyi terkenal seperti, Zamani, Amir Ukay’s dan kumpulan Iklim. Tiket berharga RM58 sehingga RM3,500 telah mula dijual dan boleh didapati menerusi laman web, https://ilassotickets.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI