KUALA LUMPUR – Enam wanita mengalami kecederaan ringan dalam kejadian bumbung dewan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jalan Duta di sini runtuh hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan runtuhan bumbung dewan tersebut pada pukul 11.56 pagi.
Kata kenyataan itu, seramai 15 anggota serta dua jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Sri Hartamas bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat runtuhan pada keseluruhan bumbung dewan manakala enam mangsa terlibat membabitkan wanita tempatan berusia 30 hingga 50 tahun.
“Kesemua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan selanjutnya,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari dan punca runtuhan masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE