PETALING JAYA – Orang ramai dinasihat untuk elakkan daripada mendedahkan identiti kanak-kanak dalam media sosial ekoran ia boleh mengundang ancaman pihak luar.
Menurut Jabatan Penerangan Malaysia, keberadaan dan maklumat yang terperinci mengenai kanak-kanak cukup sekadar kepada pengetahuan ibu bapa.
“Kadangkala pengisian dan pendedahan terutama di media sosial kebarangkalian mengundang kepada suatu yang tidak dijangka.
“Antara perkara yang perlu dielakkan adalah mendedahkan nama, maklumat serta lokasi sekolah dan tempat mereka menunggu kenderaan pulang.
“Selain itu, penjaga diingatkan untuk tidak memuat naik gambar anak dalam keadaan tidak berpakaian sempurna termasuk gambar dihukum atau didenda,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, jelasnya, pendekatan tersebut tidak merugikan ibu bapa, malah menjamin keselamatan keluarga jika terus melakukan perkara sedemikian.
“Oleh yang demikian, lindungi anak-anak serta peka dengan tindakan kita demi mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE