TANAH MERAH – Dua pekerja butik pengantin maut apabila sebuah van yang dinaiki mereka gagal memotong kenderaan sebelum bertembung dengan sebuah treler jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Batang Merbau di sini semalam.
Dalam nahas kira-kira pukul 8.30 malam itu, pemandu van jenis Ford Spectron, Muhamad Isyhad Ismi, 20, dan penumpang, Nur Farah Nabilah Che Hasan, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati, sebuah treler jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi di lokasi kejadian, van yang dipandu Muhamad Isyhad dari arah bertentangan dipercayai sedang memotong kenderaan lain.
“Van tersebut kemudiannya bertembung dengan treler terbabit sehingga kenderaan berat itu terbalik di atas jalan raya.
“Nahas itu menyebabkan Muhamad Isyhad Ismi dan Nur Farah Nabilah masing-masing mengalami cedera parah pada kepala dan badan apabila mereka tersepit di dalam van tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Haki memberitahu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tanah Merah di sini untuk bedah siasat.
Katanya, ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler mendapati lelaki itu negatif dadah.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu van yang memotong kenderaan lain sehingga berlaku kemalangan. – KOSMO! ONLINE